Wanita dikhuatiri lemas, kenderaan terjunam dalam sungai
KENDERAAN pacuan empat roda yang dipercayai dipandu mangsa berjaya ditarik keluar dari Sungai Papar. - Foto ihsan Bomba Sabah
PAPAR:
Seorang wanita dikhuatiri lemas selepas kenderaan dinaikinya terjunam ke dalam
Sungai Papar, di Jalan Melugus, Taman Sayang di sini, petang tadi. Dalam
kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, pacuan empat roda jenis Toyota Vigo
yang dipercayai dipandu Rohani Samsudin, 50-an dikatakan gagal dikawal sebelum
terhumban ke sungai berkenaan. Saksi di lokasi kejadian mendakwa mangsa
kemungkinan tertekan pedal minyak ketika membuat pusingan U di hujung jalan
berhampiran sungai. Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata selepas pacuan
empat roda itu ditarik, mangsa tidak berada di dalamnya, dipercayai hanyut
setelah cermin kenderaan pecah. "Operasi mencari dan menyelamat mangsa di
sekitar lokasi masih dijalankan oleh bomba dan polis serta penduduk kampung.
Operasi menyelam akan dijalankan oleh pasukan skuba bomba pada pagi esok,"
katanya di sini sebentar tadi. Khatizah berkata, bomba menerima panggilan pada
jam 5.52 petang dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian. Setakat jam 8 malam
ini, mangsa belum ditemui, kemungkinan hanyut manakala kenderaannya sudah
berjaya ditarik keluar dari sungai berkenaan.
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/178749
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/178749
0 comments:
Post a Comment