
Selepas mencapai sasaran awal layak ke sseparuh akhir, skuad bola sepak Sukma Sabah kini mempunyai misi baharu yang lebih besar, iaitu membawa pulang pingat emas.
"Tahniah kepada pemain, misi layak ke separuh akhir sudah tercapai dan pingat gangsa sudah ada dalam tangan, namun kami kini mengidam emas.
"Alang-alang mandi biar basah, kami kini bersemangat untuk 'menukar' gangsa kepada emas...insyaAllah," kata ketua jurulatihnya, Justin Ganai, ketika dihubungi, semalam.
Sabah berjaya melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan Johor 2-0 dalam aksi suku akhir di Stadium Negeri, Kuching, semalam.
Dua jaringan penyerang skuad Piala Presiden, Rahmanshah Marajeh, pada setiap babak sudah cukup untuk memastikan Sabah melangkah ke separuh akhir.
"Saya memuji persembahan Rahmanshah yang menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini (bertemu Johor), sudah lama saya menagih beliau untuk menunjukkan bakatnya dan dia membuktikan kepada saya hari ini (semalam).
"Selain itu, saya juga memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan kesemua pemain kerana ia juga antara faktor kami berjaya menundukkan lawan," katanya.
Sementara itu, lawan Sabah dalam separuh akhir ialah Perak, iaitu pasukan yang pernah dikecewakan Sabah dalam perlawanan akhir temasya Sukma edisi ke-15 di Pahang pada 2012.
Perak mara ke separuh akhir selepas menewaskan tuan rumah, Sarawak, menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa perlawanan sebenar.
0 comments:
Post a Comment