Searching...
Wednesday, 3 August 2016
20:20:00 0

6 Perkara Yang Ibu Wajib Tahu Apabila Anak Kerap Demam

6 Perkara Yang Ibu Wajib Tahu Apabila Anak Kerap Demam


pmama


Soalan

Anak saya kerap demam dan masuk wad dari bayi sampai sekarang sudah berumur 5 tahun masih mengalami simptom yang sama. Apabila periksa darah, doktor cakap okey cuma ada sedikit jangkitan kuman dalam darah.
Adakah itu normal bagi kanak-kanak? Apa yang perlu saya buat untuk mengatasi masalah anak kerap demam? Adakah perlu mengambil sebarang suplemen atau vitamin untuk anak? Jika ada tolong nyatakan vitamin apa yang sesuaiuntuk ketahanan badan anak saya?

Shahawardah Zaparshah
Jawapan

Apabila anak diserang demam ia memang membimbangkan ibu bapa. Demam didefinisikan sebagai suhu melebihi 37.5ºC.Suhu badan normal adalah 36.6-37.5ºC. Demam tinggi iaitu suhu teras >38.5ºC, sering dikaitkan dengan konvulsi (sawan), merengat (heat stroke) dan halusinasi (meracau).
Demam biasanya berpunca dari jangkitan kuman tetapi faktor lain yang menyebabkan radang pada tisu badan juga boleh menyebabkan demam. Demam tidak semestinya berbahaya malah ia merupakan tindakbalas fisiologi yang penting. Ia memberi maklumat bahawa terdapat gangguan kepada tubuh manusia.
Ia juga adalah salah satu perisai badan untuk melawan penyakit, yang mana kenaikan suhu badan dapat membasmi sebahagian kuman. Bagaimanapun, tahap demam tidak dijadikan penanda aras keseriusan penyakit.
Sebagai contoh demam rendah pada bayi boleh disebabkan jangkitan yang serius manakala pada kanak-kanak yang lebih besar jangkitan selesema biasa boleh menyebabkan demam yang tinggi.

Oleh itu gejala-gejala lain perlu diperhatikan untuk mengetahui penyebab demam. Selsema, batuk, sakit tekak, cirit-birit adalah gejala yang biasa dilihat apabila kanak-kanak demam, biasanya disebabkan jangkitan virus biasa.

Gejala yang bahaya seperti sawan, susah bernafas, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri memerlukan rawatan dengan segera. Demam dengan gejala biasa boleh diberikan sebahagian rawatan di rumah seperti:

a. Banyakkan minum air

b. Lap badan dengan air suam jika demam terlalu panas (jangan dilakukan semasa anak menggigil kerana ini akan menaikkan lagi suhu badan)

c. Ubat demam (antipiretik)

d. Oral - Paracetamol, Diclofenac, Ibuprofen
   
e. Supositorirektal - Paracetamol, Diclofenac
   
f. Jangan beri aspirin  
   
g. Rawatan untuk gejala yang berkaitan seperti ubat selsema/batuk/cirit birit

Sekiranya tidak teruk dan tidak berlarutan tidak memerlukan rawatan.

Demam yang disertai gejala-gejala yang bahaya memerlukan pemeriksaan doktor dengan segera untuk rawatan hidrasi/antibiotik atau penyiasatan lanjut. Demam tinggi dan berterusan tanpa gejala-gejala lain juga perlu pemeriksaan rapi serta penyiasatan termasuk ujian darah, air kencing, atau x-ray.
Jangkitan di kalangan kanak-kanak yang biasanya diabaikan ialah jangkitan telinga tengah dan jangkitan saluran kencing.

Sesetengah kanak-kanak mengalami demam yang berulang-ulang. Demam yang berulang-ulang tetapi tidak disertai dengan gejala yang bahaya dan pemeriksaan serta penyiasatan normal mungkin berkaitan dengan jangkitan virus biasa.
Sekiranya terdapat gejala lain seperti susut berat badan, lesu, pucat atau jangkitan berulang yang serius contohnya jangkitan paru-paru yang kerap, bisul yang teruk dan kerap, siasatan lanjutan untuk mengesan penyakit seperti leukaemia atau immunodeficiency (kekurangan immuniti). Terdapat banyak lagi penyakit lain yang menyebabkan demam berulang tetapi selalunya disertai oleh gejala-gejala tertentu.

Demam yang berulang-ulang beserta dengan gejala biasa atau penyiasatan didapati normal biasanya akan dipantau oleh doktor.

Beberapa faktor yang menyebabkan demam yang berulang-ulang adalah
   
* Usia- tahap immuniti kanak-kanak yang lebih kecil lebih rendah.
   
* Nutrisi- kanak-kanak yang kekurangan zat atau berat badan lebih mudah dijangkiti.
   
* Penyakit kronik- kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik contohnya penyakit jantung, buah pinggang, saraf, immunodeficiency, Thalassemia dan banyak lagi lebih mudah dijangkiti kuman.

* Faktor persekitaran- keadaan sesak seperti di pusat jagaan, kebersihan tempat tinggal dan kemudahan infrastruktur seperti bekalan air bersih.

Perlukah supplemen/ vitamin tambahan?
   
Sekiranya anak anda tidak mempunyai masalah nutrisi, makanan yang seimbang serta persekitaran yang baik cukup untuk membantu pertahanan tubuh

Peringatan
   
1. Punca biasa demam ialah jangkitan virus biasa.
   
2. Demam di kalangan bayi terutama umur bawah 3 bulan perlu di bawa berjumpa doktor.

3. Tumbuh gigi selalunya tidak menyebabkan demam tinggi.
   
4. Vaksinasi biasanya boleh menyebabkan demam biasa yang tidak berlarutan.
   
5. Ubat untuk menurunkan demam TIDAK merawat punca demam.
   
6. Jangkitan biasa yang tidak berkomplikasi dapat membantu membina immuniti kanak-kanak.

Soalan berikut dijawab oleh: Dr. Wan Khairina Wan Mohd Nowalid, MBBS (Adelaide), M.Med (Paediatrics) UKM, Pakar Perunding Pediatrik dari Pantai Hospital Ampang
 


0 comments:

Post a Comment